BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Welcome to My Website

kemestiannya....
aku ikuti kehendaknya...
ku jadi pak turut, menurut kata hati....

menurut langkah-langkah gemalai...
persis tawanan perang....
tak berdaya nak menahan....



Pages

Jul 29, 2011

Hutang Puasa

pix_gal0
Wajar ganti sebelum Ramadan elak fidyah

CUAI dan leka selain tidak merasakan amalan wajib itu sebagai suruhan agama dikatakan menjadi punca wanita memandang ringan mengganti serta membayar fidyah apabila meninggalkan puasa Ramadan.

Pakar motivasi, Dr Rubiah Kulup Hamzah, berkata kecuaian berkenaan cenderung disebabkan wanita itu sendiri yang tidak ada usaha, daya dan tekad selain melihat tiada kepentingan di sebalik amalan itu.
“Jika melakukan sesuatu mengikut kebiasaan, jadi pelaksanaan itu tidak terasa dekat dalam diri, pada Allah dan suruhan-Nya kerana puasa itu sebenarnya bermula daripada keyakinan (syahadah) lantas menjadikan individu itu kuat dan lebih baik. 
“Sudah berikrar kepada Allah untuk menjadi hamba-Nya tapi tiada pertalian sebab itu terasa seperti banyak halangan untuk mengganti sedangkan ia adalah tugas individu,” katanya ketika mengulas mengenai pengabaian umat Islam membayar ibadat puasa Ramadan.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183-184 bermaksud, “Puasa yang diwajibkan ialah beberapa hari tertentu, maka sesiapa di antara kamu sakit atau musafir boleh berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa (qada) sebanyak hari yang dibuka itu pada hari-hari lain,”.

Bagi yang tidak berdaya qada kerana tua atau alasan lain tertentu yang munasabah, caranya adalah membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Bagaimanapun, berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah.

Tambahnya lagi, isu cetek pengetahuan atau kurang didikan agama bukan penyebab tertunggak puasa ganti serta bayaran fidyah kerana agama adalah amalan dan jika tidak diamalkan, maka daya dorongan juga menjadi kurang.
“Kebiasaannya, orang yang begini juga solat pun tidak cukup. Apa yang boleh membantu adalah dengan ilmu selain mereka sendiri perlu tahu, tinggal puasa dikira berhutang dan berdosa jika hutang itu tidak dibayar,” katanya.

Jadi, penyelesaiannya, Dr Rubiah berkata, masalah itu boleh ditangani melalui kaedah memilih kawan faham agama kerana mereka mempunyai kuasa dorongan yang kuat.

“Selain itu, cuba cari buku berkaitan agama untuk mendapatkan ilmu mengenai puasa. Selami apa matlamat di sebalik amalan itu berbanding syariat yang sering dikejar kebanyakan orang,” katanya.

BAGI Juru Ukur Bahan, Liza Shareeza Mohd Zaid, 29, berkata gagal melunaskan puasa yang ditinggalkan berlaku kerana sikap suka tertangguh.

“Kalau disebut pasal agama cetek atau tidak tahu kewajipan, ia mungkin kedengaran seperti hipokrit kerana di negara ini, setiap orang yang beragama Islam mempelajari pendidikan Islam sejak di bangku sekolah rendah.

“Mereka tahu tapi tidak mengambil berat. Seperti yang sering saya perhatikan, jika soal solat tidak dititikberatkan, bagaimana mungkin mereka akan berasa wajib untuk berpuasa, seterusnya menggantinya,” katanya.

Seperti diamalkannya, Liza Shareeza membayar fidyah atau bersedekah mengikut nilai secupak beras jika tidak berkesempatan atau berkemampuan mengganti puasa pada tahun berikutnya.

“Tapi selalunya, jika perlu mengganti puasa, saya amalkan dengan berpuasa setiap Isnin dan Khamis. Lunaskan hutang puasa wajib kemudian boleh diteruskan dengan yang sunat,” kata ibu tiga cahaya mata itu.

KAKITANGAN kerajaan, yang hanya dikenali sebagai Diana pula mengakui tidak pernah menggantikan puasa sejak lapan tahun lalu.

“Entah, mungkin sekarang ini saya sering mengabaikan solat menyebabkan hati seperti liat hendak menuruti segala suruhan agama termasuk mengganti puasa.

“Berbanding di bangku sekolah dan universiti, mengganti puasa bersama rakan begitu menyeronokkan malah kami berlumba-lumba menghabiskan puasa ganti sejurus Aidiladha,” katanya.

Diana berasakan tidak mengganti puasa seperti bukan kesalahan besar kerana ramai rakannya termasuk yang bertudung juga mengabaikannya.

“Saban hari, saya sibuk dengan urusan kerja selain sering keluar bersama rakan mencuba makanan di restoran berbeza. Jadi, ia sedikit sebanyak membuatkan saya leka.

“Bagaimanapun, saya berazam untuk mula mengganti puasa dan membayar fidyah satu hari nanti,” katanya.

INFO
  • Di laman web Pusat Zakat Wilayah Persekutuan ada disediakan kalkular fidyah khas untuk wanita yang keliru mengenai kadar fidyah perlu dilunaskan jika meninggalkan puasa disebabkan haid, sengaja, ibu mengandung atau menyusu juga warga tua atau uzur.
  • Kadar fidyah bagi tahun 1431H ialah RM 1.80 sehari. Pengiraan Fidyah (beras), 1 gantang baqdad = 2.7kg, 1 cupak beras = 675 g atau bersamaan dengan RM 1.80 bagi sehari yang ditinggalkan.

FAKTA: Golongan yang dikenakan fidyah
  • Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja atau uzur syarie berkaitan - haid, nifas, wiladah (darah sakit), musafir dan sakit yang ada harapan sembuh. Wajib qada sebelum datangnya Ramadan akan datang, jika masih belum qada maka dikenakan fidyah.
  • Uzur - tiada kebarangkalian untuk sembuh atau sakit yang disahkan oleh doktor tidak boleh puasa. Fidyah dikenakan pada tahun itu juga dan tidak perlu qada puasanya.
  • Ibu hamil atau menyusukan anak yang tidak berpuasa kerana bimbang:
    • i. Kandungannya terjejas
    • ii. Air susunya kering. Justeru, fidyah dikenakan pada tahun itu juga. Hendaklah qada sebelum melangkah Ramadan akan datang. Sekiranya tidak qada puasa sehingga masuknya Ramadan, maka dikenakan fidyah berganda.
    • Sekiranya tidak berpuasa kerana dirinya. Wajib qada sebelum Ramadan akan datang dan sekiranya masih belum mengqada, maka barulah dikenakan fidyah.
    •  
       
       
  • sumber : Post Berita Harian Online- Oleh: Siti Nur Almizan Aripin 29 Julai 2011

Jul 26, 2011

Insentif kenaikan pangkat punca pegawai JPN, PPD ‘rujuk’ jadi guru

Berita Harian
2011/07/25
SAMBUTAN Hari Guru 2011 sangat memberi makna kepada pengetua, penolong kanan pentadbiran, penolong kanan hal ehwal murid dan penolong kanan kokurikulum yang sedang bertugas di sekolah menengah.

Berita gembira diumumkan Timbalan Perdana Menteri bagi pihak Perdana Menteri, iaitu semua pemegang jawatan di atas akan menerima insentif yang menjadi impian mereka. Menerusi pengumuman itu, semua pengetua sekolah menengah dinaikkan pangkat DG52, manakala penolong kanan pentadbiran (PK1), penolong kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) dan penolong kanan kokurikulum (PK Koko) dinaikkan kepada DG48 mulai 1 Januari 2012. Namun, sebahagian daripada pemegang jawatan itu memang berada dalam gred DG48 dan DG52. Banyak pihak berasakan pemberian insentif ini wajar kerana bebanan tugas berat terpaksa dipikul mereka. Apa yang menjadi bahan ketawa guru berikutan pengumuman insentif itu ada pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sanggup kembali bertugas di sekolah semata-mata kerana berhajatkan kategori DG52 atau DG48 yang bakal dinikmati mulai Januari 2012.

Jika selama ini pegawai di JPN dan PPD yang asalnya adalah guru enggan kembali bertugas di sekolah kerana bertugas di JPN dan PPD dianggap lebih dihormati berbanding bertugas di sekolah.

Sebenarnya guru tidak ambil kisah sekiranya pegawai JPN dan PPD kembali ke sekolah untuk memegang jawatan pentadbiran yang disenaraikan di atas sekiranya tempoh perkhidmatan mereka lama.

Sepatutnya pegawai ini terus saja berkhidmat di PPD atau JPN, mungkin kerajaan perlu menstruktur semula perjawatan di JPN dan PPD supaya mereka dapat menikmati apa diimpikan dan lebih penting tiada guru terguris perasaannya.
GURU HITAM PUTIH KEHIDUPAN,
Tapah, Perak.


sumber : Post - engkabang.net

Jul 23, 2011

Bengkel Cemerlang UPSR

UJIAN Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah perjuangan awal pelajar untuk melihat sejauh mana kebolehan mereka dalam pendidikan.
Justeru, ibu bapa amat teruja untuk melihat anak-anak mereka memperoleh keputusan cemerlang apatah lagi ia adalah tiket untuk memasuki sekolah asrama penuh.

Tempoh tiga bulan sebelum UPSR adalah tempoh yang penting kerana murid tahun enam memerlukan kekuatan mental secukupnya untuk menghadapi ujian besar itu.

Mereka boleh mengulangkaji murid, tetapi lebih penting ialah mempersiapkan diri dengan pelbagai perkara lain seperti panduan menjawab peperiksaan, doa, solat ketahanan mental dan menjaga kesihatan.


Setiap murid dan ibu bapa pasti mahukan kejayaan cemerlang, anak mereka mendapat 5A dalam UPSR, tetapi tanpa panduan dan hala tuju yang betul, mereka mungkin terkandas.Oleh itu, Gegar 5A UPSR akan menyediakan modul lengkap termasuk pakar motivasi, pendidik dan aktiviti luar untuk merangsang minda dan jati diri.

Program sehari itu akan memberi murid peluang untuk menghilangkan tekanan dengan aktiviti luar seperti mencari harta karun, kemahiran menghadapi peperiksaan, interaktif, pemikiran kreatif dan kritis, memperkasa salsiah diri selain tip untuk cemerlang dalam UPSR.

Gegar 5A UPSR akan dikendalikan Muhammad Aliff Ahmad Kamal, lulusan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang motivasi dan kaunseling.

Beliau pernah terbabit dalam program motivasi pelajar di kawasan pedalaman Sarawak.

Ketika di sekolah rendah, menengah dan universiti, beliau adalah pelajar cemerlang, justeru, pengalamannya boleh digunakan untuk pelajar UPSR.

Proses ketenangan diri melalui solat, doa, ceramah motivasi dan aktiviti luar dapat membimbing pelajar cemerlang dalam UPSR nanti.

Gegar 5A UPSR akan di–adakan secara bersiri bermula Julai dan menjelajah beberapa tempat di negara ini.

Lokasi bengkel juga diubah dari kebiasaannya di dewan sekolah, kini memilih hotel atau chalet yang mempunyai persekitaran lebih tenang dan sesuai untuk program motivasi dan kecemerlangan pendidikan.

Bengkel pertama diadakan di Hotel River View, Muar, Johor (9 Julai), Hotel Midah, Kuala Lumpur (16 Julai), Hotel Seri Malaysia, Ipoh, Perak (17 Julai) dan Hotel City View, Kuantan, Pahang (23 Julai).

Bayaran program sebanyak RM150 seorang dan mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan alat tulis, sijil penyertaan selain makan dan minum.

Sementara itu, serentak dengan Gegar 5A UPSR, diadakan juga bengkel Syumul Solat iaitu kaedah solat bestari untuk golongan ibu bapa.

Bengkel ini adalah menekankan kaedah memperkasakan ibadah solat, kelebihan dan kebaikan solat dalam pembentukan sahsiah dan kesihatan diri.

“Selain itu, ibu bapa akan dibimbing melakukan solat sunat khas bertujuan membimbing keluarga untuk memberikan sokongan agama terhadap anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan UPSR ini.

“Kesimpulannya, penganjuran program Gegar 5A UPSR ini akan dibuat secara bersepadu, melalui kolaborasi penyertaan ibu bapa dan anak,” katanya.

Bayaran untuk bengkel Syumul Solat ialah RM150.Maklumat lanjut mengenai Gegar 5A UPSR dan Bengkel Syumul Solat, hubungi talian 03-42955393 atau SMS ke talian 010-3240051/010-8314729/013-3229658/013-2749532 atau layari blog, hcds2u.blogspot.com



sumber : myMetro

Lelaki Kacak Lebih Perkasa

PENNSYLVANIA: Kajian ahli antropologi dan psikologi merumuskan bahawa wanita yang mempunyai teman lelaki kacak lebih ‘cepat’ dan ‘kerap mencapai kepuasan ketika berasmara.’

Penyelidik juga merumuskan bahawa faktor mencapai kepuasan itu ada kena mengena dengan kemahuan melahirkan zuriat lebih bermutu kerana ada bukti menunjukkan wanita mahu berasmara untuk hamil.

Kajian terbabit dijalankan di Universiti Pennsylvania State memfokuskan kepada kehidupan seksual 110 pasangan heteroseksual, yang melaporkan siapa yang mencapai kepuasan dan kekerapannya.

Responden lelaki diukur berdasarkan wajah maskulin, pandangan orang lain mengenainya, penampilan maskulin yang berasaskan pendapat pasangan dan siapa yang lebih agresif di tempat tidur. Responden lelaki juga diminta mengukur sejauh mana tarikan mereka kepada wanita.

Wanita yang menganggap pasangan mereka sebagai maskulin dan dominan dilaporkan lebih kerap dan lebih awal mencapai kepuasan berbanding pasangan yang kurang kacak.

Wanita yang pasangan mereka menarik juga lebih mencapai kepuasan lebih kerap ketika atau selepas ejakulasi lelaki.

Kekerapan wanita mencapai kepuasan seks disebabkan masturbasi pula tidak disebabkan rupa paras pasangan mereka.
“Oleh itu, kehamilan dikaitkan dengan orgasm wanita mungkin efektif atau mungkin apabila persetubuhan berlaku dengan lelaki maskulin,” kata penulis dalam kajian yang disiarkan jurnal Evolution and Human Behaviour


sumber : Post BH/twitter

Jul 21, 2011

8 Jenis Penyakit Boleh Sembuh Dengan Berjalan Kaki

Anda malas untuk berjalan kaki, tapi berjalan-jalan mesti anda suka.  Lebih-lebih lagi bershopingkan. Anda tahu tak dengan berjalan saja boleh menyembuhkan 8 jenis penyakit.

Mungkin bunyinya pelik berjalan kaki sahaja pun boleh menyembuhkan penyakit? Bukan 1 tapi 8 jenis penyakit. Baiklah cuba anda baca maklumat tentang jenis-jenis penyakit dan penjelasan di sebaliknya.

1. Serangan Jantung

Berjalan boleh mengurangkan risiko serangan jantung. Otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras (dari pembuluh koroner ) agar segar dan berfungsi normal mengepam darah tanpa henti.

Berjalan dengan cepat boleh mengalirkan darah ke dalam jantung. Dengan sering berjalan , kolesterol baik (HDL) yang bekerja sebagai spans penyerap kolesterol (LDL) akan meningkat dengan berjalan kaki tergopoh-gopoh.

Dengan sering berjalan , kolesterol baik (HDL) yang bekerja sebagai spans penyerap kolesterol (LDL) akan meningkat dengan berjalan kaki tergopoh-gopoh.

Tidak banyak cara di luar dapat mengubat seperti ini. Berjalan dengan cepat boleh menurunkan risiko serangan jantung.

2. Stroke

Satu kajian dilakukan kepada 70 ribu pesakit di Harvard School of Public Health yang bekerja sambil berjalan kaki sebanyak 20 jam dalam seminggu, hasilnya risiko diserang stroke menurun hingga dua pertiga.

3. Membakar Lemak

Rutin berjalan kaki akan meningkatkan metabolisme tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang oleh aktiviti berjalan kaki, kelebihan kalori yang tersimpan di dalam tubuh akan ikut terbakar, kemudian kenaikan berat badan tidak terjadi.

4. Melangsingkan Badan

jika anda kelebihan berat badan, mulailah untuk rutin berjalan. Pergerakan kaki hingga seluruh tubuh mampu menurunkan berat badan dan lemak yang ada terutama di perut anda akan terkikis. Lakukan berjalan kaki secara rutin selama satu jam.

5. Kanser

Gejala kanser akan lenyap dengan sendirinya jika kita rajin jalan kaki. Kanker yang dimaksudkan adalah jenis kanser usus besar (colorectal carcinoma).
Kita tahu, bergerak badan ikut melancarkan peristaltik usus, sehingga buang air besar lebih lancar. Kanser usus dicetuskan oleh najis tertahan lama dalam saluran pencernaan.
Sementara dalam satu kajian lain, berjalan boleh menurunkan risiko terkena kanser payudara.

6. Mencegah Osteoporosis

Sering berjalan bukan hanya otot-otot badan menjadi sihat, rangka atau tulang di dalam tubuh anda juga akan menjadi sihat dan kuat.
Osteoporosis tidak cukup hanya dengan rutin mengambil vitamin D dan kalsium yang banyak, tubuh juga memerlukan gerak badan dan memerlukan waktu paling kurang 15 minit dibawah sinar matahari pagi dan anda akan terhindar dari osteoporosis.

7. Mencegah Kencing Manis

Dengan rutin berjalan kira-kira 6 km per jam, dalam tempuh sekitar 50 minit, mampu mencegah berkembangnya diabetes tipe 2, khususnya pada mereka yang bertubuh gemuk (National Institute of Diabetes and Gigesive & Kidney Diseases).
Selagi gula darah boleh dikawal hanya dengan cara bergerak badan (brisk walking), ubat tidak diperlukan. Anda hanya memerlukan berjalan secara rutin untuk terus menjaga kesihatan badan dan terhindar dari diabetes.

8. Depresi

Berjalan kaki dengan cepat boleh menggantikan ubat anti depresi yang biasanya diminum secara rutin oleh pesakit depresi. Mulai sekarang, rajinlah berjalan kaki dan ia akan menyembuhkan pesakit yang tengah depresi.

Oleh itu, kita mesti selalu blogwalking kan...agak-agak penyakit apa yang boleh sembuh..Cubalah sendiri.


sumber : Post by Janudin b. Hj. Aji / engkabang.net

Jul 20, 2011

CUEPACS MOHON KERAJAAN PERTIMBANG BONUS DUA BULAN

KUANTAN, 15 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada seluruh penjawat awam tahun ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu dan mengharapkan berita baik daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet Oktober ini.

"Kami telah menghantar surat memohon dua bulan bonus bukan setakat sehingga gred 54 sahaja tetapi keseluruhan penjawat awam, namun ia tertakluk kepada kemampuan kerajaan.

"Penjawat awam harapkan sesuatu tahun ini kerana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ada yang mendapat sehingga lapan bulan bonus sedangkan kita penjawat awam yang betul-betul di bawah kerajaan persekutuan, negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan hanya dapat bantuan khas RM500," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tri Tahunan kali ke-24 Anulae cawangan Majlis Perbandaran Kuantan di sini, Jumaat.

Beliau berkata pemberian bonus yang kali terakhir diberi pada dua tahun lepas perlu dipertimbangkan berdasarkan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.

Selain itu katanya, produktiviti penjawat awam juga semakin meningkat sehingga ada kementerian dan jabatan yang berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

"Kita mahu tekankan produktiviti, nak naikkan semangat sayangkan kerja...mesti ada insentif," katanya.


sumber: Post- Engkabang.net

Sukatan kurikulum baru perlu tanam semangat cintakan negara.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran harus menekankan aspek semangat cintakan negara dalam sukatan kurikulum dan kokurikulum sistem pendidikan kebangsaan yang akan dikaji semula supaya dapat melahirkan modal insan bertaraf dunia yang setia dan sanggup berkorban kepada negara.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata perkara itu harus diterapkan dalam kedua-dua bidang berkenaan agar kualiti sistem pendidikan negara dapat ditingkatkan selain memastikan sukatan pelajarannya sesuai diguna pakai bagi tempoh 15 hingga 20 tahun lagi.

“Sistem pendidikan negara ini adalah satu bidang yang luas. Jadi segala usaha penambahbaikan harus dilihat daripada pelbagai sudut,” katanya kepada Bernama sebagai mengulas cadangan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula sistem pendidikan kebangsaan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara.

Menegaskan bahawa usaha mengkaji semula sistem pendidikan negara tidak seharusnya dilaksanakan secara “syok sendiri”, Hashim berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan dengan berani dan tidak tergesa-gesa.

“Ia perlu kajian mendalam, telus dan betul,” katanya.

Selain itu, katanya kualiti guru, murid dan kelengkapan prasarana sekolah juga patut diambil kira dalam kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan kebangsaan itu.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran, berkata sudah sampai masanya kerajaan membuat dasar baru untuk menambah baik sistem pendidikan negara selari dengan perkembangan teknologi terkini dan peredaran dunia.

“Selepas Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960 dan sistem pendidikan 1970, tidak ada dasar baru yang dibuat, jadi kajian menyeluruh ini sangat kena pada masanya untuk menilai sistem pendidikan negara setanding negara maju.

“Malaysia adalah antara negara yang cepat membangun dan bermatlamat untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Jadi pendidikan adalah asas penting ke arah matlamat itu,” katanya.

Katanya kajian menyeluruh itu tidak boleh dibuat dalam sekelip mata kerana ia memerlukan input daripada pelbagai lapisan termasuk pemain industri, pakar akademik dan pihak universiti. — Bernama


Sumber: http://www.theborneopost.com/2011/07/18/sukatan-kurikulum-baru-perlu-tanam-semangat-cintakan-negara-kata-nutp/

Jul 19, 2011

PEMBINAAN ITEM UJIAN

PENGENALAN


    Sebagai seorang guru, anda sudah pasti melalui suatu proses membuat pemilihan jenis
item/soalan untuk ujian pencapaian, seperti pencapaian akademik pelajar, adalah agak
sukar dan rumit, begitu juga membina item/soalan ujian itu sendiri. Dengan andanya
Penggunaan Jadual Penentuan Ujian (JPU), sudah pasti sedikit sebanyak akan dapat
membantu anda untuk memilih jenis item/soalan tersebut. Sepertimana lazimnya, anda
sudah pasti mengetahui bahawa terdapat dua jenis item ujian bertulis, iaitu (a) item
objektif, seperti item yang memerlukan pelajar memilih jawapan yang betul atau
melengkapkan ayat; dan (b) item subjektif, yang memerlukan pelajar menggubal jawapan
sendiri. Item objektif termasuklah item betul-salah, beraneka pilihan, padanan atau
pelengkapan; sementara item subjektif termasuklah item berjawapan pendek, sederhana
atau panjang; item berjawapan terbuka; atau item berkaitan penyelesaian masalah. Secara
amnya, pembina/penggubal item ujian boleh merancang sesuatu ujian dari segi jenisnya,
bilangan item, kandungan pengajaran serta domain dan peringkat objektif pengajaran.

OBJEKTIF TAJUK
Diakhir tajuk ini, anda seharusnya dapat:
1. membina Jadual Penentuan Ujian;
2. menjelaskan langkah penyediaan item ujian;
3. membina item ujian objektif; dan
4. membina item ujian subjektif.


sumber : OUM

JADUAL PENENTUAN UJIAN

    Mengikut Haladyna 1977, konsep pencapaian boleh dipecahkan kepada
pengetahuan dan kemahiran. Ujian keatas pengetahuan seseorang individu
hendaklah berlandaskan pengetahuan serta kefahaman mengenai fakta,
konsep dan prinsip. Ujian terhadap kemahiran hendaklah berasaskan kepada
aplikasi pengetahuan terhadap masalah dan keadaan.

    Penggubalan sesuatu kertas ujian perlu mengikut spesifikasi ujian yang ditetapkan.Beberapa pertimbangan perlu dibuat, seperti ujian yang hendak ditadbirkan sebaiknya mewakili keseluruhan sukatan pelajaran, yang mungkin merangkumi komponen pengetahuan, kemahiran dan sikap yang telah ditetapkan. Pertimbangan ini dibuat untuk memastikan para pelajar diuji dengan menggunakan soalan yang relevan dengan sukatan pelajaran/objektif pengajaran.

    Pengubalan kertas ujian perlu mengikuti pelbagai proses, termasuk penyediaan JPU,pembinaan item ujian, membuat ujian rintis dan memurnikan item ujian. Akhir sekali,sebelum ujian tersebut ditadbirkan, item-item ujian hendaklah dinilai oleh pakar matapelajaran tertentu. Keseluruhan proses ini boleh membantu untuk memastikan kualiti item ujian dari segi kebolehpercayaan, kesahan, dan seterusnya, pengukuran yang adil
(Hale, 1980).

    Menurut Kubiszyn dan Borich (2003), JPU (Test Specification Table) adalah carta dua hala yang mengaitkan objektif pengajaran dengan kandungan pengajaran. Lajur carta ini menyenaraikan objektif-objektif pengajaran, sementara baris carta ini pula menyenaraikan konsep-konsep utama yang diajar dan ingin diukur. Dengan demikian, JPU boleh menjadi panduan kepada guru tentang sukatan pelajaran yang perlu diajar dan objektif pengajaran yang perlu dicapai pelajar. Dari segi pembinaan item ujian pula, JPU akan menjadi panduan kepada guru supaya item-item yang dibina merangkumi semua kandungan pengajaran daripada awal hingga akhir. Dengan demikian, JPU seharusnya dibina seawal mungkin, misalnya sebelum kita memulakan pengajaran.

    Anda digalakkan untuk melihat laman web berikut http://www.admin.
upm.edu.my/acro_file skim_Pembantu%20 Tadbir%20Kewangan-TK2.pdf (14 Nov 2005). Laman web ini memberi gambaran berhubung dengan jadual penentu ujian yang diperkatakan.

Latihan 4.1
Dapatkan satu kertas ujian bagi mata pelajaran tertentu. Berdasarkan item-item ujian ini, senaraikan beberapa objektif pengajaran yang dapat anda kenal pasti.


sumber : OUM

Pesakit jiwa semakin ramai



MIRI: Kira-kira 11.2 peratus daripada rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas cenderung mengalami gangguan jiwa yang menjurus kepada sakit jiwa atau mental dan jumlah ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, jumlah itu adalah hasil kajian National and Health Morbidity Survey dalam tempoh sepuluh tahun.

“Kajian itu juga mendapati jumlah gangguan mental di kalangan lelaki dan wanita hampir sama, dengan jumlah pesakit mental yang lebih ramai di bandar berbanding kawasan luar bandar,” katanya berucap pada majlis makan malam bagi mengumpul dana anjuran Persatuan Kesihatan Jiwa Sarawak (PKJS) cawangan Miri di sebuah hotel malam semalam.

Namun ujar Chin, kesihatan mental di negara ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya, sebaliknya masyarakat berfikiran cetek terus memberi pandangan serong dan negatif.

“Sepatutnya masyarakat harus sedar dan memahami mengenai setiap perbezaan gangguan mental sebelum memberi tanggapan yang negatif,” ujar dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh wakil beliau, Kaunselor Peter Chia.

Beliau menambah sokongan moral masyarakat ini secara tidak langsung dapat membantu pesakit tersebut dan mengelak keadaan mereka menjadi lebih ‘parah’.

Chin memberitahu, pesakit yang mengalami gangguan mental mampu pulih dan sihat seperti orang lain yang normal sekiranya mereka diberi rawatan dan pemulihan yang sewajarnya.

“Ramai di kalangan mereka yang mengalami penyakit psikiatrik dapat menjalani kehidupan dengan berjaya manakala selebihnya memerlukan ubat pada masa tertentu atau sepanjang hayat. Namun dengan sokongan, mereka dapat pulih,” katanya.

Ujar beliau, kesihatan mental amat diperlukan insan untuk membolehkan mereka menghadapi cabaran dalam hidup dan paling penting bersikap positif terhadap diri sendiri.

Mengenai majlis malam itu, Chin memuji jawatankuasa penganjur di atas komitmen mereka untuk mengadakan majlis makan malam amal.

“Ini merupakan satu mercu tanda untuk warga Miri dalam usaha membantu pesakit-pesakit mental khususnya di bandar raya ini,” katanya.

Sementara itu, MHA Miri menyediakan khidmat kaunseling dan pusat jagaan harian untuk pesakit mental yang dalam pemulihan.

sumber: Borneo Post

Jul 12, 2011

Penyerahan Geran Dewan Perhimpunan Sekolah

   
        Majlis Kesyukuran anjuran bersama PIBG SK. Kampung Senau dan JKKK Kampung Senau telah diadakan  pada 09 April 2011 bersamaan hari Sabtu bertempat di Balai Raya Kampung Senau telah dirasmikan oleh Datin Hjh. Fatimah bt. Abdullah.
      
        Dalam majlis tersebut Datin Hjh. Fatimah bt. Abdullah telah menyampaikan geran Dewan Perhimpunan SK. Kampung Senau berupa cek berjumlah RM75 ribu kepada Tn. Hj. Morni@Jamali bin Hj.Osman selaku Yang DiPertua PIBG (YDP) SK. Kampung Senau,Dalat.

Jul 11, 2011

Dewan Perhimpunan Sekolah

           Pada 8 Julai 2011 bersamaan hari Jumaat,  kerja-kerja peringkat awal dimulakan dengan merata tanah di tapak dewan serta membuat saliran air dari dalam padang untuk memudahkan pengaliran air keluar sebab air akan bertakung setiap kali hujan lebat di mana akan membantutkan aktitiviti-aktiviti luar yang dijalankan.
        Tapak dewan akan didirikan sebelah tepi padang bola sepak dengan ukuran 40' X 60'. 
Dengan adanya dewan ini nanti akan memudahkan aktiviti-aktiviti luar dijalankan termasuklah beberapa majlis yang dikelolakan oleh pihak sekolah.

Peningkatan UPSR 2010

          Datin Hjh. Fatimah Bt. Abdullah telah berjanji sekiranya keputusan UPSR 2010 meningkat untuk SK. Kampung Senau,sebuah Dewan Perhimpunan akan dibinakan sebagai ganjarannya.Beliau menyeru agar semua guru dan murid bekerja lebih keras serta lebih proaktif demi menyahut cabaran disamping menaikkan nama sekolah di peringkat Daerah Dalat dan Bahagian Mukah.
        Dengan usaha serta keringat semua pihak sebelum ini maka terbuktilah bahawa segala penat lelah serta komitmen semua pihak khususnya guru-guru tanpa mengira masa demi menabur bakti dan tanggungjawab untuk kepentingan anak didik.
        Segala hasrat dan impian semua pihak khasnya warga sekolah selama ini tidak menjadi sia-sia dengan keputusan UPSR 2010 meningkat daripada 53.33% kepada 70.24%. Keputusan ini adalah julung kalinya dicapai melebihi 60%.
        Harapan pihak sekolah serta semua penduduk kampung ini agar keputusan UPSR khususnya akan terus meningkat mengikut statistik dan aktiviti kokurikulum dapat dicapai secara total pada setiap tahun.

Jul 4, 2011

Pelajar Disengat Tebuan Ketika Larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia

21 pelajar disengat tebuan ketika larian 1Murid

2011/07/03

KOTA BHARU: Seramai 21 murid dan pelajar dari dua sekolah di Bachok dimasukkan ke hospital selepas mereka disengat tebuan ketika menyertai Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia pagi semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Zaid Ahmad, berkata pelajar terbabit adalah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak.
Katanya, mereka diserang sejenis tebuan tanah dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu.
"Lapan pelajar perempuan adalah daripada SMK Badak dan bakinya daripada SK Badak yang dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Tiada yang cedera serius," katanya di Wad 5 HRPZII di sini.

Zaid berkata, mereka yang terbabit adalah murid Tahun Empat dan Tahun Lima serta pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Katanya, semua pelajar itu akan dibenar pulang secara berperingkat petang ini.

Sementara itu, murid Tahun Empat SK Badak, Mohd Farid Firdaus, berkata beliau menerima tujuh sengatan tebuan tanah itu ketika berlari beramai-ramai di satu kawasan semak di satu laluan berdekatan sekolah.
Beliau berkata, mereka kemudian dihantar ke Hospital Bachok sebelum dihantar ke HRPZII di sini.

Rakannya, Nur Syafiqah Azmi, 10, berkata beliau hampir pengsan dan menjerit kesakitan ketika serangan tebuan itu berlaku.

"Saya kena tiga sengatan di badan dan cikgu hantar ke hospital," katanya.

Pelajar SMK Badak, Aishah Mansor, 13, berkata ketika larian dia tiba-tiba melihat tebuan itu menyengat rakan-rakannya dan beliau.

"Semua pelajar menjerit dan kami semua kembali ke sekolah sebelum dihantar ke hospital," katanya yang terkena empat sengatan tebuan. - BERNAMA

JPA setuju lima tuntutan baru CUEPACS

5 TUNTUTAN CUEPACS

1.    Penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.
2.    Kenaikan pangkat berdasarkan ‘time base’ (tempoh perkhidmatan) kurang 15 tahun dan penjawat awam tidak dipindah atau ditukar ke negeri lain jika menerima kenaikan pangkat dalam gred yang sama.
3.    JPA juga diminta menerima sijil cuti sakit dikeluarkan doktor kepada penjawat awam yang melahirkan anak keenam dan seterusnya melalui pembedahan, cuti tanpa rekod ditambah daripada 14 hari kepada 30 hari serta cuti separuh gaji bagi menjaga ahli keluarga yang ditimpa musibah sehingga tiga bulan.
4.    Cadangan sistem penilaian kompetensi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula Jun ini serta kajian semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) iaitu gaji minum kakitangan awam RM920 sebulan.
5.    Meminta kerajaan menimbang pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan tahun ini bagi mengimbangi bonus diterima mereka yang berkhidmat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan tertentu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...