8/3/2011 9:30:01 AM
Pohon kebenaran pembaca budiman untuk berkongsi informasi minggu ini, bukan pendapat seperti selalu. Maklumlah, minda pada hari-hari pengulu Ramadan ini kurang tangkas kerana tidak dimangkinkan kafeina seperti biasa.
Sabtu lepas, saya telah menghadiri sesi media bersama bloggers anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWKM) di Hotel Le Méridien. Titik fokal sembang kami petang itu berkisar tentang pelancaran Nur (National Urgent Response) Alert. Sedikit latar belakang mengenai Nur Alert. Sistem ini asalnya suatu inisiatif yang diketengahkan oleh nama-nama gargantuan dunia blog tanah air – 3540 Jalan Sudin, Princess Journal, Tembam’s Weblog dan Rocky’s Bru – setelah mayat adik Nurin Jazlin Jazimin didapati terperosok dalam sebuah beg di Petaling Jaya. Mayat Nurin dijumpai setelah hampir sebulan arwah dilaporkan hilang dari kawasan perumahannya di Wangsa Maju, pada 20 Ogos 2007.
Nur Alert diadaptasi dari sistem Amber Alert (America’s Missing:Broadcast Emergency Response) di Amerika Syarikat yang dilancarkan setelah kehilangan dan kematian adik Amber Hagerman di Arlington, Texas, pada 1996.
Secara asasnya, Nur Alert ini adalah sistem amaran awal yang bakal digegarkan apabila mana-mana kanak-kanak di bawah 12 tahun dilaporkan hilang. Informasi mengenai kehilangan akan dicanangkan ke seluruh pelosok dunia menggunakan khidmat, antara lainnya: bloggers, kawalan di pintu keluar masuk negara, komuniti setempat, penyedia khidmat telekomunikasi, media cetak dan eletronik, syarikat pengangkutan, institusi perbankan, lembaga lebuh raya, pusat membeli-belah dan hotel. Sistem ini juga akan disokong dengan kerjasama pihak polis yang mempunyai lebih pengetahuan dan selok belok teknikal dalam kes penculikan kanak-kanak.
Jika diizinkan, saya ada cadangan agar KWKM dapat meningkatkan lagi keberkesanan sistem Nur Alert. Nama-nama yang dicanang di perenggan atas semuanya bagus, mereka mampu menyebarkan maklumat kehilangan dengan cepat. Tetapi KWKM perlu mengambil kira ketangkasan sistem laman micro-blogging seperti Twitter dan laman media sosial paling popular, Facebook.
Blog posting secara umumnya mampu memberi maklumat secara terperinci berkenaan dengan kes kehilangan kanak-kanak, tetapi setakat mana maklumat itu boleh disebarkan masih bergantung kepada populariti sesebuah laman blog tersebut. Namun sekiranya berita dihebahkan di laman micro blogging secara padat – disebabkan oleh limitasi setakat 140 aksara sahaja – dan ditambah pula dengan fungsi kicau-semula boleh meningkatkan keberkesanan Nur Alert. Maklumat tersebar dengan ringkas, padat dan cepat.
Manakala, KWKM juga mungkin boleh mengenal pasti pengguna laman web sosial Facebook yang mempunyai bilangan kawan dan ahli keluarga melampaui ribuan orang. Kelebihan Facebook, jelas bergantung kepada populariti laman web tersebut dan kecenderungan rakyat Malaysia dewasa ini, yang rata-rata menggunakan medium internet untuk berkomunikasi. Lagipun maklumat yang disebarkan oleh kawan atau ahli keluarga mempunyai kelebihan dari segi tahap kepercayaan lebih tinggi.
Tidak, saya tidak memperkecilkan peranan blogger dalam Nur Alert, cuma sekadar memberi cadangan agar sistem ini dapat mencapai objektif penubuhan dengan lebih berkesan. Media internet, tidah syak lagi, adalah medium terpantas apabila kita bercakap mengenai penyebaran maklumat.
Berbalik kepada tragedi yang menimpa adik Nurin, reaksi spontan seluruh negara ketika itu marah dan mengecam hebat jenayah terkutuk yang dilakukan.
Malangnya, idea yang dilahirkan oleh bloggers untuk mengekang jenayah penculikan ini mengambil masa hampir tiga tahun untuk diluluskan oleh kabinet. Maaf cakap, pada saya, tiga tahun itu suatu jangka masa yang lama untuk melaksanakan sesuatu yang memerlukan tindakan segera seperti Nur Alert.
Tidak lama setelah kes Nurin, adik Sharlinie pula dilaporkan hilang dari taman perumahan di Taman Medan, Petaling Jaya dalam bulan Januari 2008. Elemen Nur Alert telah digunakan dalam kes ini walaupun secara minimum sahaja. Sungguh ironis sekali kerana ketangkasan dunia maya masih tidak mampu membantu kita. Sehingga ke hari ini, Sharlinie masih belum dijumpai.
Apa yang masih terngiang di telinga saya sehingga ke hari ini adalah angka statistik tegar kehilangan kanak-kanak, di mana dari 2009 sehingga Jun 2011, seramai 139 kanak-kanak telah dilaporkan hilang. Tiada ruang di hati rasanya untuk melepaskan Luqman bebas bermain di luar rumah seperti masa saya sedang membesar dahulu.
Sekiranya anda mempunyai apa-apa maklumat atau kecemasan berkenaan dengan kehilangan kanak-kanak, kebajikan, bayi terbuang, masalah sosial remaja, penderaan atau kaunseling, sila ingat nombor ini: 15999.
Tetapi mungkin KWKM dapat berbuat sesuatu dengan talian ini, kerana percubaan saya memanggil semalam hanya dijawab setelah 6 minit berlalu. Sekiranya berada dalam kegetiran, 6 minit itu sangat lama.
Bersama, kita mampu mengubah statistik yang mengerikan ini.
* Elviza Michele Kamal juga seorang peguam yang berkicau di http://twitter.com/elviza
sumber : twitter-Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment