KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksima akan turut menikmati pelarasan gaji di bawah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
"Mekanisma pelarasan dan butiran terperinci akan kita bincangkan dalam suruhanjaya yang ditubuhkan nanti," kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman ketika dihubungi BERNAMA hari ini. Najib hari ini mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan SSM yang ditambah baik selain mengumumkan pelarasan gaji antara tujuh peratus dan 13 peratus bagi penjawat awam mengikut gred. Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan saja membabitkan sistem saraan malah rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.
Omar berterima kasih kepada Perdana Menteri bagi pihak penjawat awam di atas pengumuman tersebut dan meminta penjawat awam agar bersabar dengan pelaksanaan pelarasan gaji tersebut.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berkata keputusan membatalkan SBPA dilihat sebagai tindakan bijaksana yang memberi keadilan kepada semua pihak.
"Mungkin ada pihak yang kurang puas hati dengan keputusan ini, namun kita perlu rasional bahawa kerajaan dalam masa yang sama tidak mampu memuaskan hati semua pihak," katanya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Khairil Niza Khairuddin yang menyambut baik pelarasan gaji itu bagaimanapun mahu kerajaan bertindak mengawal kenaikan harga barang di pasaran supaya tidak menjejaskan kenaikan gaji penjawat awam.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pembatalan SBPA adalah bukti kerajaan mengiktiraf dan memahami beban rakyat terutamanya penjawat awam.
"Sistem negara moden memperuntukkan kerajaan perlu mengambil kira dan pandangan dari pihak peniaga mahupun masyarakat sivil dan pembatalan ini jelas menunjukkan Perdana Menteri kita telah mengotakan janjinya sebelum ini," katanya.
Anggota tentera, Saiful Azmie Mohammed, 35, yang bakal menerima kenaikan gaji 13 peratus berkata pembatalan SBPA adalah satu tindakan yang wajar.
"Anggota beruniform seperti saya yang berada dalam kumpulan antara gred 42 hingga 44 tidak ada bantahan dengan pembatalan dan kenaikan gaji," katanya.
Seorang guru, Mohd Sanusi Ismail, 46, berkata penjawat awam perlu bersyukur dengan kenaikan tersebut dan tidak patut mengeluh mahukan gaji yang lebih tinggi daripada kerajaan.
"Jumlah kenaikan sudah diputuskan, saya tidak kisah kerana bagi saya mudah, jika kewangan kerajaan mampu dan ada bajet lebih, sudah pasti rakyat dan penjawat awam orang pertama yang akan menerimanya," katanya.
Pensyarah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam, Zariyawati Shaari, 32, berkata pembatalan SBPA mempunyai kebaikan dan keburukan.
"Saya menerima kenaikan 13 peratus, namun masih terlalu awal untuk menilai dan terdapat beberapa isu yang masih tidak jelas mengenai pembatalannya.
"Saya harap apa-apa pelaksanaan yang kerajaan lakukan perlu ambil kira semua perkara dan gaji golongan tertentu berpatutan dengan kerja dan kelayakan mereka," kata Zariyawati.
Penolong Pentadbir Tanah, Ahmad Fayadh Abdul Manap, 26, pula kecewa dengan pembatalan SBPA.
"Saya rasa SBPA ini memberi satu fasa baru kepada penjawat awam secara keseluruhannya. Sepatutnya SBPA yang perlu ditambah baik bukan SSM yang dikekalkan.
"Perlu diingatkan bahawa mereka yang mendapat kenaikan gaji berdasarkan skim SBPA adalah pegawai kerajaan yang mempunyai kelayakan akademik setimpal," katanya.
Beliau berkata kenaikan gaji pegawai kerajaan melalui skim SBPA secara tidak langsung boleh membantu mereka untuk membayar balik pinjaman pendidikan ketika menuntut di institut pengajian tinggi sebelum ini.
Kakitangan Majlis Perbandaran Bentong, A Kalaichalvi, 32, berkata beliau berpuas hati dengan pengumuman hari ini kerana jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan nasib kakitangan awam terutamanya golongan bawahan.
"Saya yakin dan percaya pengumuman itu akan membangkitkan lagi semangat penjawat awam untuk terus bekerja dengan gigih bagi memastikan tahap dan pencapaian sentiasa berada di landasan betul," katanya.
credit to BERNAMA
Mar 9, 2012
Pelarasan gaji SSM turut dinikmati penjawat awam di tangga gaji maksima: CUEPACS
Posted by ^# mataKALAM'13 #^ at 8:34 AM
Labels: Pelarasan gaji SSM turut dinikmati penjawat awam di tangga gaji maksima: CUEPACS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Post a Comment