BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Welcome to My Website

kemestiannya....
aku ikuti kehendaknya...
ku jadi pak turut, menurut kata hati....

menurut langkah-langkah gemalai...
persis tawanan perang....
tak berdaya nak menahan....



Pages

Apr 26, 2012

Guru lebih stres

RAMAI yang pasti terkejut apabila mengetahui hasil kajian mendapati bahawa guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan tekanan atau stres terutama dari segi fizikal selepas polis, pegawai penjara dan jururawat.

Malah kedudukan itu berada di atas daripada profesion tentera yang menduduki tempat ke lima.
"Kedudukan guru sebelum askar agak mengejutkan. Ini menunjukkan seorang guru berdiri lama ketika mengajar di dalam kelas atau melakukan aktiviti sukan dan sebagai. Jadi tidak mustahil mereka mengalami tekanan seperti kesakitan anggota badan," kata Pengarah Urusan Great Life Physio and Rehabilation, Mohd. Rozaimi Che Kamaruddinata.

Didorong perkembangan itu beliau berkata, sebagai syarikat yang mengendalikan pusat rawatan fisioterapi, pihaknya telah memperkenalkan program latihan fisioterapi khas untuk golongan guru di sekolah-sekolah seluruh negara.
Katanya, program itu disediakan khas oleh pakar-pakar fisioterapi untuk para guru dalam memberi panduan bagaimana menguruskan stres dan kesakitan anggota badan semasa bertugas.

"Matlamat program ini adalah untuk memperkenalkan kepada masyarakat bahawa rawatan terbaik dalam penyelesaian kesihatan terutamanya berkaitan stres dalam pekerjaan ialah melalui fisioterapi," katanya.

Beliau mengakui, kekangan masa bagi mereka yang bekerja untuk bersenam atau melakukan aktiviti sukan boleh menyebabkan seseorang itu kelihatan lesu dan tidak bermaya.
Ini ditambah pula dengan tekanan yang dihadapi sama ada ketika di tempat kerja mahupun di rumah.
"Fisioterapi adalah salah satu rawatan atau kaedah yang boleh dilakukan oleh semua orang dalam menghadapi tekanan dalam kerja.
"Secara umumnya fisioterapi merupakan kaedah rawatan penyakit atau kecederaan melalui penyembuhan semula jadi badan. Kaedah ini tidak menyakitkan dan tiada ubat digunakan, ia lebih kepada proses pemulihan dan pencegahan," katanya.

Dalam pada itu program pertama latihan fisioterapi di sekolah berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini membabitkan 135 guru dan kakitangan sekolah.
Pengetuanya, Siti Endon Mohamad Dahlan berpendapat program itu baik dalam membantu guru-guru dan sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada mereka.

"Rawatan ini adalah mudah dan boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat terutama yang bekerja. Sedikit sebanyak ia membantu melahirkan kualiti kerja yang bermutu," katanya.

Melalui program tersebut, guru-guru telah didedahkan secara teori dan praktikal daripada aspek fisioterapi oleh kakitangan Great Life Physio and Rehabilation dengan kerjasama pelajar Masterskill.
Sesi ceramah telah diberikan oleh Pakar Fisioterapi Great Life Physio and Rehabilation, Siti Fazilah Jamaluddin, yang menerangkan beberapa aspek mengenai stres yang boleh mengakibatkan seperti pening, sakit belakang, lemah sistem pertahanan badan, mengganggu mutu kerja dan juga boleh berlaku serangan jantung serta obesiti.

Selain itu, tanda-tanda stres boleh dikenal pasti menerusi degupan jantung yang laju, ketegangan otot, proses pernafasan menjadi cepat, berpeluh dan terasa perut kurang selesa, loya dan cirit.
Fazilah menjelaskan antara faktornya adalah disebabkan penat, kurang tidur, postur badan ketika bekerja, bebanan kerja, suasana tempat kerja, skop kerja dan sebagainya.
Malah beliau berharap supaya masyarakat menerima rawatan fisioterapi ini sebagai satu alternatif perubatan dalam kehidupan.- Utusan Malaysia Online

Mar 17, 2012

Penduduk Dayak bantah FPI

PONTIANAK: Ibu negeri wilayah Kalimantan Barat, Pontianak dicengkam ketegangan kelmarin berikutan laporan bahawa satu perarakan besar diadakan oleh masyarakat Dayak menentang kehadiran Barisan Pertahanan Islam (FPI).


Akhbar Jakarta Post melaporkan, polis Kalimantan Barat mengerahkan 100 anggota briged bergerak (Brimob) dan 100 lagi pegawai untuk membantu mengekalkan keselamatan bandar itu.


Polis kemudian menutup jambatan Kapuas 1, satu daripada dua jambatan utama menghubungkan beberapa jalan utama di Pontianak, untuk mengelakkan sebarang pergerakan dari penunjuk perasaan besar-besaran.


Perarakan dicetuskan oleh tindakan menurunkan kain rentang sebagai simbol penolakan kepada FPI di rumah penginapan Dayak Pangsuma di Jalan Wahid Hasyim di Pontianak sehari sebelum itu.


Kejadian pada Rabu itu sebenarnya sudah selesai menerusi dialog antara tokoh masyarakat mewakili belia Dayak dan pegawai FPI si ibu pejabat polis Pontianak pada malamnya.


Ratusan masyarakat Dayak berhimpun di rumah tradisional Rumah Betang di Jalan Sutoyo, Pontianak selatan, tidak jauh dari dewan gabenor. Mereka merancang mengadakan perarakan secara aman ke ibu pejabat polis Kalimantan Barat di Jalan A Yani.
Semakin ramai penunjuk perasan tiba, ketua polis Kalimantan Barat, Ketua Brigadier Jeneral Unggung Cahyono memutuskan untuk ke Rumah Betang berbincang dengan mereka dan mengelakkan ketegangan meningkat.


Kemudian, Unggung meminta orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh untuk mengambil tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian tempatan.


“Tolong ambil perhatian, jangan biarkan diri anda terpengaruh. Inilah permintaan kami,” kata Unggung yang dipetik agensi berita Antara.


“Dengan mengambil kira tuntutan belia Dayak supaya membubarkan FPI, polis akan memanjangkan tuntutan mereka kepada kerajaan pusat yang mempunyai kuasa berbuat demikian,” kata jurucakap polis Kalimantan Barat, Komisioner Kanan Mukson Munandar.


Bagaimanapun sejumlah penduduk Pontianak mengemukakan maklum balas positif terhadap permintaan ketua polis untuk mengekalkan keamanan.


Harapan mereka untuk keamanan disiarkan dalam laman rangkaian sosial di mana mereka mengingatkan antara satu sama lain supaya tidak memperbesar-besarkan isu berkaitan kaum dan agama. 


credit to bharian 

Mar 9, 2012

NUTP RAYU LAKSANA SKIM KHAS

Kenaikan pangkat secara ‘time base’ pertingkat profesion perguruan


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu kerajaan melaksanakan skim perkhidmatan khas untuk penyandang (KUP) iaitu kenaikan pangkat berdasarkan ‘time base’ membabitkan kira-kira 450,000 guru di negara ini seperti diumumkan kerajaan pada Bajet 2012. Presidennya, Hashim Adnan, berkata NUTP menyokong skim perkhidmatan itu yang dilihatnya laluan kerjaya terbaik untuk warga pendidik serta menjadi pemangkin kepada guru meningkatkan mutu kerja masing-masing. “Maksud ‘time base’ ialah cukup tempoh masa perkhidmatan dan guru itu akan mendapat kenaikan pangkat. Contohnya, mengikut sistem baru ini, guru siswazah gred DG44 yang berkhidmat lapan tahun akan naik pangkat untuk jawatan gred DG48 berbanding tempoh masa 10 tahun sebelum ini.


“Bagi guru bukan siswazah gred DG29 yang turut berkhidmat lapan tahun, akan naik pangkat untuk jawatan gred DG32, jika sebelum ini seorang guru itu terpaksa menunggu 10 tahun untuk naik pangkat tetapi kini hanya lapan tahun saja.


“NUTP menyokong penuh penambahbaikan dilakukan kerajaan terhadap sistem ‘time base’ yang mula dilaksanakan sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002,” katanya di sini, semalam.


Hashim berkata, NUTP berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan berita baik pelaksanaannya seiring dengan pengumuman semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bakal diumumkan keputusannya tidak lama lagi.
“Ke mana saja kepemimpinan tertinggi NUTP pergi dan turun padang, guru sering bertanya kepada kami mengenai KUP ini seperti diumumkan kerajaan tahun lalu, tanya kami bila ia dilaksanakan kerana beribu guru masih tidak berpeluang mendapat kenaikan pangkat.


“NUTP amat berharap ketika kerajaan mengumumkan keputusan semakan semula SBPA, Perdana Menteri akan turut menyampaikan berita baik kepada warga pendidik di negara ini,” katanya.


Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, kesatuan itu turut mengirim telegram kepada Perdana Menteri, kelmarin merayu jasa baik pemimpin nombor satu negara supaya turut mengambil kira kebajikan golongan pendidik.


credit to bharian

Pelarasan gaji SSM turut dinikmati penjawat awam di tangga gaji maksima: CUEPACS

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksima akan turut menikmati pelarasan gaji di bawah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).


"Mekanisma pelarasan dan butiran terperinci akan kita bincangkan dalam suruhanjaya yang ditubuhkan nanti," kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman ketika dihubungi BERNAMA hari ini. Najib hari ini mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan SSM yang ditambah baik selain mengumumkan pelarasan gaji antara tujuh peratus dan 13 peratus bagi penjawat awam mengikut gred. Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan saja membabitkan sistem saraan malah rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.


Omar berterima kasih kepada Perdana Menteri bagi pihak penjawat awam di atas pengumuman tersebut dan meminta penjawat awam agar bersabar dengan pelaksanaan pelarasan gaji tersebut.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berkata keputusan membatalkan SBPA dilihat sebagai tindakan bijaksana yang memberi keadilan kepada semua pihak.


"Mungkin ada pihak yang kurang puas hati dengan keputusan ini, namun kita perlu rasional bahawa kerajaan dalam masa yang sama tidak mampu memuaskan hati semua pihak," katanya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Khairil Niza Khairuddin yang menyambut baik pelarasan gaji itu bagaimanapun mahu kerajaan bertindak mengawal kenaikan harga barang di pasaran supaya tidak menjejaskan kenaikan gaji penjawat awam.


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pembatalan SBPA adalah bukti kerajaan mengiktiraf dan memahami beban rakyat terutamanya penjawat awam.


"Sistem negara moden memperuntukkan kerajaan perlu mengambil kira dan pandangan dari pihak peniaga mahupun masyarakat sivil dan pembatalan ini jelas menunjukkan Perdana Menteri kita telah mengotakan janjinya sebelum ini," katanya.


Anggota tentera, Saiful Azmie Mohammed, 35, yang bakal menerima kenaikan gaji 13 peratus berkata pembatalan SBPA adalah satu tindakan yang wajar.


"Anggota beruniform seperti saya yang berada dalam kumpulan antara gred 42 hingga 44 tidak ada bantahan dengan pembatalan dan kenaikan gaji," katanya.


Seorang guru, Mohd Sanusi Ismail, 46, berkata penjawat awam perlu bersyukur dengan kenaikan tersebut dan tidak patut mengeluh mahukan gaji yang lebih tinggi daripada kerajaan.


"Jumlah kenaikan sudah diputuskan, saya tidak kisah kerana bagi saya mudah, jika kewangan kerajaan mampu dan ada bajet lebih, sudah pasti rakyat dan penjawat awam orang pertama yang akan menerimanya," katanya.


Pensyarah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam, Zariyawati Shaari, 32, berkata pembatalan SBPA mempunyai kebaikan dan keburukan.


"Saya menerima kenaikan 13 peratus, namun masih terlalu awal untuk menilai dan terdapat beberapa isu yang masih tidak jelas mengenai pembatalannya.


"Saya harap apa-apa pelaksanaan yang kerajaan lakukan perlu ambil kira semua perkara dan gaji golongan tertentu berpatutan dengan kerja dan kelayakan mereka," kata Zariyawati.


Penolong Pentadbir Tanah, Ahmad Fayadh Abdul Manap, 26, pula kecewa dengan pembatalan SBPA.


"Saya rasa SBPA ini memberi satu fasa baru kepada penjawat awam secara keseluruhannya. Sepatutnya SBPA yang perlu ditambah baik bukan SSM yang dikekalkan.


"Perlu diingatkan bahawa mereka yang mendapat kenaikan gaji berdasarkan skim SBPA adalah pegawai kerajaan yang mempunyai kelayakan akademik setimpal," katanya.


Beliau berkata kenaikan gaji pegawai kerajaan melalui skim SBPA secara tidak langsung boleh membantu mereka untuk membayar balik pinjaman pendidikan ketika menuntut di institut pengajian tinggi sebelum ini.


Kakitangan Majlis Perbandaran Bentong, A Kalaichalvi, 32, berkata beliau berpuas hati dengan pengumuman hari ini kerana jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan nasib kakitangan awam terutamanya golongan bawahan.


"Saya yakin dan percaya pengumuman itu akan membangkitkan lagi semangat penjawat awam untuk terus bekerja dengan gigih bagi memastikan tahap dan pencapaian sentiasa berada di landasan betul," katanya. 




credit to BERNAMA

Feb 28, 2012

Khalwat Badrulamin didakwa Perangkap - Wanita Tertuduh tuntut Cerai.

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Kes Khalwat melibatkan Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri Selangor Dr. Badrulamin Bahron dikejutkan dengan tuntutan penceraian dari tertuduh dari pihak wanita terhadap suami beliau.

Laporan yang disahkan akhbar Sinar Harian ini turut menjelaskan wanita tersebut telah membuat penafian keras terhadap tuduhan khalwat melibatkan dirinya dan Dr. Badrulamin. Dengan nada tegas wanita berkenaan menganggap ianya satu tuduhan jahat.

"Fitnah! Saya tidak berkhalwat. Saya tidak lakukan perbuatan itu. Saya tidak berada dalam satu bilik dengan Ustaz (Badrulamin). Orang fitnah saya berniat jahat. Tidak bertanggungjawab!” katanya dipetik akhbar itu.

Sambil menganggap tuduhan ini satu pengkhianat ke atas diri beliau, wanita tersebut juga menjelaskan Dr. Badrulamin telah dikurung di dalam bilik lalu dibelasah oleh beberapa kumpulan yang cuba memerangkap beliau.

“Saya pergi menemui Ustaz Badrulamin atas tujuan mahu melarikan diri daripada suami, bersama anak saya yang berusia dua tahun. Saya bimbang keselamatan kami terancam. Saya sudah puas berusaha dan tidak mampu lagi menanggung segala bebanan ini,” rintihnya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, beberapa media melaporkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menangkap seorang pemimpin PKR kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang di sebuah hotel di Balok di Kuantan.

Badrulamin kebetulan berada di Kuantan untuk temurapat atau permukiman PKR pada hujung minggu lalu.

“Ustaz pun ada datang ke sini (Rompin) dan saya juga mengenali rapat isteri beliau. Malah isterinya juga menasihatkan saya supaya bersabar menghadapi kes fitnah ini. Saya juga kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang menuding jari tanpa beri kami peluang untuk bela diri, sedangkan kes ini belum diputuskan di mahkamah,” katanya.

Menurut wanita itu, beliau nekad mengemukakan tuntutan cerai kerana kemelut rumah tangganya gagal diselesaikan di sebalik pelbagai usaha.

“Itulah jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan keselamatan dan masa depan saya serta anak terbela,” katanya.

Sebelum ini, Badrulamin juga menafikan dakwaan khalwat itu dan berkata beliau khuatir kes itu akan dijadikan permainan politik kotor oleh Umno.


credit to klpos

Guru skim SSM diminta tunggu pengumuman

BATU PAHAT: Keputusan kenaikan pangkat guru yang dinilai mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) bergantung kepada pengumuman penting yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, golongan guru yang menantikan keputusan kenaikan pangkat diminta bersabar sehingga pengumuman itu dibuat. “Lebih baik kita tunggu hasil perbincangan antara CUEPACS dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)... seperti kita maklum satu pengumuman penting akan dilakukan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini. “Jika merujuk kenyataan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman semalam (kelmarin), sesuatu yang menggembirakan akan diumum Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng juga salah seorang pimpinan CUEPACS dan saya yakin perkara ini ada dibangkitkan dalam perbincangan bersama JPA... jadi kita tunggu hasilnya,” katanya selepas merasmikan Karnival TM Gegar, di Dataran Penggaram, di sini, semalam.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) meminta Kementerian Pelajaran mengesah terlebih dulu kenaikan pangkat yang sudah dinilai mengikut SSM sebelum menguatkuasakan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

KGMMB mendakwa sejumlah jawatan kanan masih belum mendapat pengesahan kementerian walaupun penilaian, temu duga dan pembentangan sudah dilaksanakan pada Jun dan Julai tahun lalu.

credit to Bernama

Feb 24, 2012

Najib bakal buat pengumuman adil, saksama bagi SSM, SBPA

PUTRAJAYA 23 Feb. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

"Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam,” katanya kepada pemberita tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu. 

credit to BERNAMA

Feb 23, 2012

JIKA ISU INI TAK SELESAI, JANGAN HARAP PRU-13 BOLEH DIADAKAN...

22 Februari 2012
JIKA ISU INI TAK SELESAI, JANGAN HARAP PRU-13 BOLEH DIADAKAN...
Utusan Malaysia
Oleh Zaini Hassan
22/2/2012

ISU ini amat sensitif. Ia lebih sensitif daripada isu ladang lembu dan lain-lain. Jika isu ini tidak selesai, jangan diharap pilihan raya boleh diadakan.

Ia membabitkan isu gaji kira-kira 1.3 juta kakitangan awam, yang kesemuanya, termasuk keluarga mereka layak mengundi. Ingat lagi kisah ‘penyapu’ di Selangor? Negeri itu jatuh antara sebabnya kerana penjawat-penjawat awam termasuk DO, ADO sehinggalah ke peringkat peon, begitu marah kerana dihina.

Jangan cari pasal dengan golongan ini. Mereka ialah kumpulan pelaksana dan tulang belakang kepada dasar-dasar kerajaan. Jika mereka marah mereka boleh bertukar warna menjadi Mr. Blue atau Mr. Green seperti dalam watak filem Incredible Hulk. Dan itu amat bahaya.

Dalam hal ini Perdana Menteri sememangnya cukup sedar. Satu tindakan cepat sedang diambilnya. Memang PM sendiri tahu jika isu ini tidak selesai maka Pilihan Raya Umum Ke-13 ini tidak boleh dilaksanakan. Maka itu, YAB PM telah mengarahkan sebuah jawatankuasa petugas khas (task force) semakan semula gaji duduk berbincang dengan Cuepacs mengenai hal ini, setelah Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman sendiri mengamuk.

Setakat ini sudah tiga kali task force ini berbincang. Hari ini sekali lagi rundingan akan dilangsungkan. Kali ini ia akan membabitkan cadangan lima perkara daripada Cuepacs sendiri. Omar akan mengetuai perbincangan itu bagi pihak kesatuan tersebut dengan wakil-wakil dari JPA, Pejabat Peguam Negara, Perbendaharaan dan agensi-agensi lain.

‘‘Kita mahu rundingan ini diselesaikan sebelum 30 Mac ini,” kata Omar kepada saya semalam.

Omar seperti biasa cukup bertenaga. Cakapnya juga cukup tegas. Dalam rundingan itu, beliau diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh kumpulan 54 (pengurusan dan profesional) ke bawah untuk membawa suara dan nasib mereka ke atas.

Kumpulan-kumpulan itu termasuklah: Jawatankuasa khas Gred 54 ke bawah PTD dan Pegawai Tadbir; Persatuan Pensyarah Universiti Profesor Madya Ke Bawah; Persatuan Jurutera Kebangsaan; Kumpulan Doktor-doktor Pakar Gred 54; Kumpulan Anggota Keselamatan Polis; Kumpulan Gred 54 Teknikal selain gabungan Cuepacs sendiri terdiri daripada Kumpulan Pelaksana 1 dan 2.

Hari ini saya mahu menyiarkan sepucuk surat yang dihantar kepada saya oleh seorang penjawat awam. Bunyinya agak keras. Tapi ditulis secara profesional, bernas, ada logik mengenai gaji baru mereka di bawah skim baru SBPA (Skim Baru Perkhidmatan Awam).

Begini bunyi surat itu. Semoga ia menjadi iktibar kepada kita semua.

Struktur perkhidmatan di bawah SBPA terbahagi kepada empat:

* Kumpulan Premier (Strategic and key positions (Turus): KSN, KSU)

* Kumpulan Pengurusan Tertinggi (Jawatan Utama dan Gred Khas: JUSA C, B dan A)

* Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pegawai Gred 41 hingga Gred 54)

* Kumpulan Pelaksana (Pegawai dengan kelayakan masuk PMR hingga Diploma)

Kumpulan pegawai yang mendapat kenaikan gaji paling banyak ialah kumpulan Premier dan JUSA. Difahamkan semua KSU diberikan opsyen bersara dan seterusnya berkhidmat secara kontrak. Persaraan pula dikira sehingga umur 60 tahun. Ini bermakna semua KSU akan mendapat pencen dan gaji selain daripada faedah persaraan lain seperti gratuiti. Pencen sahaja, mengikut jadual gaji SBPA untuk kumpulan ini akan menjangkau puluhan ribu ringgit. Apakah rasionalnya keputusan ini memandangkan kebanyakan KSU telah pun berada di akhir tempoh perkhidmatan? Gaji kumpulan Premier ini difahamkan sama besar atau lebih besar daripada CEO di GLC atau di perbadanan-perbadanan swasta.

Isu penting SBPA ialah ketidakadilan yang amat ketara dari segi kenaikan gaji. Contohnya kumpulan JUSA C sahaja mendapat kenaikan gaji melebihi RM5,000 dengan peratus kenaikan di antara 57 peratus dan 81 peratus! Sementara kumpulan pelaksana N22 hanya mendapat kenaikan gaji di antara RM100 dan RM200 (ada yang lebih rendah) dengan peratus kenaikan di antara 3.7 peratus dan 7.5 peratus sahaja.

Difahamkan di bawah skim baru ini, Premier 1 akan menerima gaji sebanyak RM60,000 sebulan tanpa elaun; Premier 2 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 3 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 4 RM35,000 tanpa elaun. Tunggakan pampasan adalah antara RM800,000 dan RM1 juta.

Secara logiknya peratus kenaikan di antara kumpulan tidak boleh terlalu berbeza kerana ia akan meningkatkan jurang perbezaan pendapatan serta mengundang rasa tidak puas hati penjawat awam yang 80 peratus terdiri daripada kumpulan pelaksana.

Ketidakpuasan hati kumpulan pelaksana ini, ditambah dengan keluarga masing-masing, mampu menumbangkan kerajaan.

Sebagai rumusan SBPA telah menidakkan semua usaha kerajaan untuk menonjolkan kerajaan sedia ada sebagai a caring government. SBPA dibuat secara tergesa-gesa, tidak telus dan merupakan the biggest blunder Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam sejarah Malaysia.

Pihak JPA tidak perlu lagi memberi taklimat di sana sini mengenai SBPA tetapi mengakui bahawa SBPA sebenarnya tidak adil, tidak telus dan JPA perlu mengambil langkah positif untuk memperbaikinya.

Adalah menjadi satu tindakan yang bodoh, sia-sia dan akan menjadi bahan ketawa umum dan dunia untuk masih lagi mempertahankan bahawa SBPA merupakan satu sistem saraan yang baik dan mampu membawa negara kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertanggungjawab (merangka dan meluluskan tangga gaji itu) bagi menunjukkan kerajaan bertegas serta prihatin kepada kesejahteraan semua kumpulan penjawat awam dan rakyat.

Dengan kepincangan SBPA yang tidak masuk akal dan tidak terfikir oleh kebanyakan penjawat awam ini patutkah Kumpulan Premier, di antaranya terlibat secara langsung dalam penggubalan SBPA, dibayar pencen beserta gaji yang sebegitu tinggi?

Sekiranya dikatakan bahawa SBPA disediakan oleh pihak konsultan, maka apakah peranan kumpulan JUSA dan Premier yang merupakan pemegang strategic dan key positions dalam perkhidmatan awam?

Begitu bunyi surat itu. Benar juga apa yang dijelaskan itu. Ia umpama langit dengan bumi atau antara atap rumbia dan atap genting. Ia juga umpama strata rakyat di India, yang terlalu daif dan yang terlalu kaya.

Yang mendapat imbuhan maha-besar itu hanyalah kira-kira 4,000 kakitangan berbanding 1.3 juta lain yang sedang marah. Dan difahamkan peruntukan untuk membayar kos kepada 4,000 itu merupakan 2/3 daripada keseluruhan peruntukan untuk kesemua kakitangan kerajaan.

Kita berharap rundingan itu akan mencapai satu kata-putus yang menang-menang. Jika tidak, menurut Omar: ‘‘Ia akan menjadi satu isu yang amat kritikal. Dalam road show kami, kakitangan telah memberi kata dua…''

Kita berharap kata dua itu tidak seperti kata-kata Dr. David Banner sebelum dia bertukar warna menjadi Incredible Hulk: ‘‘...don‘t make me angry. You wouldn‘t like me when I’m angry. (Jangan buat saya marah. Saya tidak akan sukakan saya jika saya marah.)

Saya berharap satu formula yang lebih bertamadun dapat dirangka demi kesejahteraan semua pihak, terutamanya kepada kerajaan semasa.

Ingatlah YAB PM telah bekerja amat keras, janganlah kerana skim yang tidak masuk akal ini akan menyebabkan apa yang beliau usahakan rosak sebelanga.

Posted by CUEPACS at 2:58 PTG 72 comments

Cuepacs tuntut gred 1-54 naik gaji RM700-RM2,500

Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

NONEPresidennya Datuk Omar Osman berkata kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Beliau berkata tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).

"Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs di mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA di Putrajaya hari ini.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred.

"Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar tunggakan sebanyak RM500," katanya.

Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.

azlan"Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji.

"Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji, sia-sia sahajalah usaha mereka," katanya.

Omar berkata tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA.

"Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan," katanya.

NONEBeliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan disalurkan kepada gred bawahan.

"Jika tidak boleh juga...apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru," katanya.


credit to malaysiakini

Feb 22, 2012

Guru lepasan ijazah nikmati manfaat semakan semula SBPA

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam memberi jaminan 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan April ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Kementerian Pelajaran sudah mengambil tindakan berhubung kenaikan pangkat itu walaupun SBPA masih di peringkat semakan semula Pasukan Petugas Khas diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.
Beliau menjelaskan Kementerian Pelajaran tidak dapat menaikkan gred guru terbabit tahun lalu disebabkan dasar membekukan lantikan baru bermula 20 Mei sehingga 31 Disember, selain tidak mempunyai jumlah perjawatan mencukupi.


“Daripada rekod Kementerian Pelajaran, kita dapati 7,396 pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma (PPPLD) sudah diperakui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dilantik sebagai pegawai perkhidmatan siswazah.


“Bagaimanapun, pelantikan mereka tidak dapat dilakukan tahun lalu berikutan pembekuan itu... sebab itulah timbul isu berkenaan,” katanya di sini, semalam.


Minggu lalu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng mendedahkan kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred DG41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu.
Situasi itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang terpaksa membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan peribadi bagi menampung kos menyambung pelajaran masing-masing.




credit to Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...